Sunday, March 29, 2015

Kebebasan.

Aku tak boleh nafikan, memang ramai di antara kita yang over react dalam sesuatu isu yang terjadi. Kadang-kala aku juga begitu.

Apa-apa benda yang kita lihat kita tonton, kita akan bagi reaksi. Jarang sekali kita akan bagi reaksi pada benda yang kita baca. Selalunya benda yang kita baca, kita akan simpan di dalam hati, reaksi itu tidak konkrit, lebih-lebih lagi jika apa yang kita baca itu merupakan surat cinta daripada manusia yang kita sukai. Berlainan pula dengan benda yang kita lihat dan tonton, sekejap saja reaksi itu akan muncul. Contoh paling senang ialah bila kita nampak pasangan budak sekolah sedang berjalan sambil berpegangan tangan. Dalam sekelip mata, reaksi "Apa bangang bebudak dok pegang tangan ni? Buat malu mak bapak je." akan muncul. Lainlah jika anda sebaya dengan mereka.

Berkenaan video si dj radio tu, ye aku tau ramai yang marah. Aku rasa video itu kurang sesuai dibuat atas sebab video itu ada terselit elemen 'bakar line'. Satu contoh bakar line yang selalu kita hadapi dalam kehidupan seharian ialah bila kita buka group whatsapp dan ada rakan yang upload gambar makanan hipster yang harganya melampaui batas logik dengan ucapan "Nyum nyum." Tetapi melalui video si dj itu, seolah-olah satu Malaysia merasa elemen bakar line yang bercambah melalui perbuatan dan ucapan di dalam video itu.

Lalu segala jenis macam manusia, berserakan dari pelbagai arah, mengedau seolah-olah dialah yang nirmala di kalangan semua manusia. Apa yang lebih memerihkan situasi ialah bila ada yang mengugut untuk membunuh si dj itu.

Melihat itu saja boleh disimpulkan sebagai over react.

Apabila peringat umur berlainan, pergaulan berlainan, pemikiran berbeza, ideologi berbeza, sudah tentu akan wujudnya over react ini. Aku bukanlah menyalahkan mereka, tetapi ia boleh diumpamakan seperti mencucuh api ke minyak. Jika sikit minyaknya, kecil saja apinya. Jika banyak minyaknya, besarlah apinya.

Aku cuma ada satu perkara yang aku setuju di dalam video itu. Isu yang diperbesar-besarkan dibuat hanyalah untuk mengalihkan perhatian terhadap isu yang lebih besar seperti isu kenaikan tambang pengangkutan awam. Kita sedia maklum bahawa ramai yang lebih selesa untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai medium perjalanan seharian. Melihat pada kenaikan tambang ini, sudah tentu akan wujudnya beban di kalangan semua pengguna terutamanya bagi yang berpendapatan sederhana dan rendah. Alah, yang berpendapatan tinggi dan yang berkereta mewah di sana sini tetapi tidak reti bagi signal ketika masuk simpang sudah tentu tidak ambil kisah.

Iye aku tahu, manusia punya hak untuk menyuarakan pendapat. Tetapi apalah gunanya hak untuk menyuarakan pendapat itu jika apa yang dikatakan itu menyakitkan hati orang lain.