Friday, December 26, 2014

Sabut Kesedihan.

Laman Instagram dilayari melalui komputer riba. Satu persatu gambar menjadi hidangan mata, dari yang berpakaian ketat hingga kepada yang berlurah dendam, lalu keluar satu gambar perempuan cantik bertudung beserta kapsyen.

"Tunang hadiahkan baju kurung ni. Jadi kita pakailah. #ootd #tunangbagi"

Sugul wajah dia tatkala melihat gambar perempuan itu.

"Kau dah kenapa?"

"Emm, makwe lama aku ni."

Selang-seli aku pandang komputer riba dengan dia. Lalu aku bertanya, "Sejak bila ni?" Dia menarik nafas panjang. Kedengaran bunyi titisan air hujan dari luar bilik, semakin lebat semakin lebat. Cuaca seolah-olah memahami kesuraman yang menyelinap seluruh bilik ini.

"Dua bulan lepas.", balas dia dengan perlahan.

* *

"Selagi gunung masih utuh berdiri, selagi ombak masih memukul pantai, selagi itu cinta saya terhadap awak takkan berubah. Pegang janji saya ini dan sematkan dalam hatimu. Usahlah khuatir sayang, kerana jika kita tidak bersatu di dunia ini, kita akan bertemu di akhirat sana."

"Walaupun kita terpisah jauh seperti sekarang? Awak sanggup harungi ini semua?"

"Awak, cinta itu bukan melemahkan hati, bukan membuat kita putus asa, sebaliknya cinta menguatkan hati, menghidupkan harapan. Harapan untuk kita bersama selamanya."

Tersenyum sang lelaki mendengar gubahan kata itu.

* *


"Hari tidak selalunya indah, air tidak selalunya jernih. Kita harapkan sinaran matahari, rupanya gerhana yang muncul. Harapan hancur menjadi debu lalu terbang dihembus kekecewaan."

"Kenapa dengan awak ni?"

"Ada orang datang meminang, anak kawan lama abah."

* * *


Sebatang Winston dicapai lalu dihala ke bibir. Rokok dinyalakan lalu dicampak pemetik api itu ke sudut meja. Nama pun pemetik api, fungsi dalam kehidupan pun tak tentu. Ada juga manusia yang seperti pemetik api, sama ada dia sedar atau tak itu hal dia.

Rokok disedut panjang. Asap masuk melalui trakea menuju ke paru-paru sebelum kembali naik ke mulut untuk dilepaskan. Kadang kala asap berbentuk O dibuat, saja nak tunjuk hebat. "Benda dah jadi, akhirnya dia pergi jugak ke lelaki itu. Menangis pun tak guna, bukannya dia akan ingat dekat kita pun kan.", ujar dia dengan tenang.

Saturday, December 6, 2014

Happy Birthday Ayong Mika.

Hari ini ulangtahun kelima perkahwinan Ayong Mika.

Hari ini juga hari lahir ke 31 Ayong Mika.

Itu pun kalau Ayong Mika masih bernafas di dunia ini.

Pagi 12 Julai 2010, Subuh lagi pada waktu itu. Final World Cup 2010 baru berakhir, di mana Robben tak lepas one-on-one dengan Casillas, De Jong buat karate kick dekat Alonso, dan Iniesta menyumbat gol kemenangan disusuli dengan membuka jersinya dan tertera 'Dani Jarque Stempre Con Nosotros'. Lepas tu balik solat Subuh dekat surau, aku baru nak lelap mata, dan kakak aku mesej aku bagitahu arwah dah meninggal.

Rasa macam tak percaya, aku terus call kakak aku. Lepas tu aku call ayah aku, dan aku terus menangis. Aku buat keputusan nak balik Klang, dan perjalanan balik Klang dari matrik makan masa 4 jam lah jugak. Semua aku buat sebab arwah tu sepupu aku. Sempatlah solat jenazah dengan iring jenazah ke tanah perkuburan.

Sebenarnya arwah menghidap kanser kelenjar sejak 2008, tapi berjaya sembuh. Lalu arwah melangsungkan perkahwinan pada 6 Disember 2009. Selepas beberapa bulan, arwah mengandungkan seorang anak lelaki, dan kanser kembali menyerang. Sadisnya bila kanser dah semakin menggila, arwah mengalami keguguran. Ayah aku cakap kandungan tu gugur dengan sendirinya masa arwah dekat ICU.

Kali terakhir aku jumpa arwah pada 10 Julai 2010, arwah tengah terbaring dekat ICU. Aku masuk sekejap, terus keluar. Tak sanggup nak tengok lama-lama.

Aku masih ingat lagi arwah cakap dekat aku "Best lah kau urut aku. Urutlah lagi."

Dan aku tetap ingat bila arwah tulis dekat fb aku keesokan selepas perkahwinan arwah, "Happy birthday budak. Good luck paper esok."

Thursday, November 13, 2014

Cycle.

Segalanya aku sudah dengar. Lihat saja mimik mukanya, penuh serius. Sepanjang aku berkenalan dengan dia, aku tak pernah melihat dia sebegini rupa.

Orang muda menyebutnya sebagai 'mental'. Tegang. Orang putih menyebutnya 'stress'.

Dia diam keseorangan, seperti yang aku selalu buat. Aku akan mendiamkan diri apabila aku tak tahu apa yang mereka bincangkan, apa gila kau nak menyampuk pasal benda yang kau tak tau?

Dari setiap hirupan milo, hingga setiap sedutan asap nikotin, aku lihat wajah yang serius.

Dari bunyi sofa yang dia baring itu saja, aku tahu dia sedang tak tenang. Fikiran celaru. Untung rokok sudah kehabisan, jika tidak rokok saja yang berada di antara jari hantu dan jari telunjuknya.

Aku perhati ramai yang akan merokok apabila rasa tidak tenang, rasa gusar. Dulu-dulu, kakak aku pun merokok. "alah, aku merokok bila stress je."

Dulu aku pernah terbuka beg dia, ada sekotak Marlboro. Sekarang dah tak ada. Bau rokok pun dia dah tak senang.

"Kenapa beg kau ada bau rokok ni?" Dah kenapa dia ni?

Beginilah aku, di sekeliling aku, semuanya merokok. dari kawan sebilik, member lepak, rakan futsal, semuanya sama. Pilihan masing-masing, semua dah dewasa.

Lelaki dewasa nak jadi pondan pun pilihan masing-masing, tapi bodohnya jadi bila nak guna pakaian perempuan pun sampai guna kuasa mahkamah.

Tahu tak bila kita dah betul-betul dewasa? Bila keputusan dibuat berdasarkan masa depan. Contoh paling senang, kawan aku seorang ni. Dia baru saja beli motosikal baru.

"Kau tau zad, aku dapat offer Satria Neo 18 ribu. Tapi aku tolak. Kau tau kenapa? Sebab tahun depan aku nak kahwin. Kalau ikut simpanan aku, boleh je nak beli satria neo tu. tapi baik aku guna duit tu untuk kahwin. Haritu mak ayah aku dah datang merisik kat rumah dia. Mak ayah dia cakap kalau boleh nak cepat-cepat. Cuma satu lah, aku tak puas enjoy lagi dohhh. Yang aku tau, belah aku nanti buat kenduri kesyukuran. Belah perempuan buat meriah. Sebab tu lah aku beli motor ni, kira senang apa-apa jadi."

"Wahh, belah kau nanti buat karaoke sekali, baru best."

"Kepala hotak kau. Tapi tu lah, tahun depan aku kahwin dohh."

Itu semua dibualkan sambil aku membonceng motosikal barunya itu.

Si dia yang aku cerita pada awal tulisan ini, aku lihat dia dah tenang sedikit. sibuk bermain dengan telefonnya. Barangkali mencari ilham.

Dan aku sedang memikirkan bagaimana nak menggembirakan semua yang berada di sekelilingku.

Tuesday, November 11, 2014

Masalah.

Sedang aku menghadap laptop, satu suara bergema.

"Assalamualaikum."


Aku memandang belakang ke arah pintu bilik.


"Waalaikusalam."


"Err, Islam kan?" 


Aku menganggukkan kepala.


"Haaa... Kitorang ada buat bacaan Yasin esok malam pukul 8.40, sebab ada student kena gangguan." "Ohhh, insyaAllah datang."


Perbualan disudahi dengan satu jabat tangan, lalu dia pergi meninggalkan bilik, membuatkan aku terpinga-pinga akan soalan yang diberi pada awal perbualan.


Adakah situasi gangguan ini membuatkan dia menanyakan soalan yang lain macam kepada aku? Er?


Gangguan ni mungkin sama erti dengan masalah. Kewujudannya sama, untuk menghalang kelancaran kehidupan.


Gangguan seperti di atas mungkin berpunca daripada kurangnya amalan kerohanian atau pun lemah semangat. Syaitan mana ambil kisah dengan manusia yang sentiasa taat dengan keutuhan amalan.


Cuma yang membawa kepada perumitan adalah masalah kecil yang terlalu diambil secara serius.


Contoh paling senang, masalah pondan nak guna pakaian perempuan, mahkamah syariah larang, lepas tu bawa ke mahkamah rayuan, dan menang. Apa benda ini semua?


Lalu bertempik segala macam manusia melaungkan kata keramat agama.



Nauzubillah!

Dunia nak kiamat dah!

Nabi tak mengaku umat!

Pelik betul pondan tu semua, kenapa nak ambil kisah pun pasal larangan daripada mahkamah syariah bila larangan Allah itu sendiri terang-terang dah dilanggar? Mana yang lagi besar ni, mahkamah syariah ke Allah? Apa yang nak digusarkan sebenarnya ni?


Masalah kecil je sebenarnya tu, cuma kita yang ambil serius sangat pasal benda ni. Untuk apa kita gaduh pasal benda ni?


Belum lagi cerita pasal pegang anjing. Yang anjurkan satu hal, yang sokong satu hal, yang bantah satu hal, yang kecam satu hal, tapi yang celaka; si batu api.


Yang tiba-tiba keluar dalil pula apehal?


Isu kesihatan yang lagi penting daripada benda picisan itu semua, siapa je yang ambil kisah? Ke bila dah sakit, sedar-sedar tak ambil insuran kesihatan, baru nak menyalak? Tahu tak bila TPPA jadi dilaksanakan di Malaysia, ubat-ubatan hospital jadi mahal?


Korang tak pernah ke fikir kenapa dekat hospital kerajaan kita kena beratur tunggu giliran tapi dekat hospital swasta tak ada pun benda macam tu?


Isu kaya vs miskin pun tak habis-habis lagi. Eh bukan, tak pernah nak habis pun. Cuba fikir kita di belah yang mana satu. Isu subsidi kena main, isu harga rumah kena main. Isu rumah kena roboh?


Kelip kelip ku sangkakan api


Mungkin kita salah dalam priority kita.

Tuesday, October 14, 2014

Hurairah dan Kapas.

Do you smell what The Rock is cookingggg

Bunyi bom


Nada panggilan telefon bimbit jenama Sony berbunyi, membuat aku terkejut.


Lalu panggilan disambut.


"Office hour..." Cetus dari hati Beruang Sungai.


"Hello assalamualaikum." Perbualan dimulakan. Sambil telefon bimbit berada di telinga, sekujur badan mengambil tempat untuk baring di atas katil. Lalu suasana gembira datang bertamu di pelusuk bilik.


Tidak perlu sejambak mawar merah, apatah lagi coklat berbentuk hati. Cukup sekadar satu panggilan untuk mengisi ruang rindu di sudut hati.


Senyuman diukir sebalik perbualan itu. Raut wajah berseri, seolah-olah seperti seri wajah Siti Nurhaliza yang didatangkan dengan rutin wudhu' (katanya). Suasana di dalam bilik mendorong laman Youtube dibuka, lalu lagu Andra and The Backbone - Sempurna dimainkan.


Lalu yang lain menjadi seperti dewa cinta Roman, menabur baja kasih sayang. Mungkin ia tidak kelihatan, tetapi hati seperti merasa kewujudan itu.


Perasaan mempunyai teman untuk berkongsi kisah, berkongsi kasih ini, tidak ada alat yang mampu mengukur magnitud perasaan ini. Tidak mungkin akan ada unit SI untuk mengukur perasaan ini.


Aku gembira untuk rakan aku, bukankah setiap manusia ada hak untuk merasa gembira?


Kau bisikkan kata dan hapus semua sesalku

Thursday, June 12, 2014

Exam.

Orang kata, bila musim exam ni, jadilah musim ingat Tuhan. Masa ni baru surau penuh, bagus jugak.

Tapi, mulut manusia, adalah yang mempersoalkan perbuatan. Tau tak, setiap perbuatan kita ni, ada je manusia lain yang tak puas hati.

"Masa exam baru nak datang surau. Masa lain, haram."

Ikut aku, malas nak layan orang macam ni. Bukannya dia yang jatuhkan hukum kan.

Teringat pulak masa air tak ada dekat UM ni. Aku dengan kawan-kawan aku pergilah surau, sebab masa tu surau je yang masih ada bekalan air. Masa kitorang nak keluar dari surau tu, adalah kitorang selisih dengan bebudak surau, lalu salah seorang budak surau tu cakap,

"Air tak ada baru nak datang surau."

Ikut hati nak je penumbuk dia tu.

Dah, selamat berjaya dalam exam semua.

Thursday, May 22, 2014

Bebelan Jam 4 Pagi.

Tengah buat assignment. Tengah buat slides untuk presentation.

Lepas tu blank.

Bila dah blank, mulalah meleret. Ikon 'Google Chrome' ditekan.

Kelemahan aku ni satu je, lembab kalau buat kerja. Itu yang kalau boleh sentiasa nak elak daripada buat kerja last minute. Tapi kalau buat kerja kumpulan, terkontang-kanting jugak kalau buat sendiri.

Ah, baik aku habiskan kerja.

Wednesday, April 23, 2014

Air.

When the future's architectured 
By a carnival of idiots on show
You' better lie low

Bukan apa, waktu krisis air macam ni, lirik itu ada je dalam otak aku. Di atas kebebalan kerajaan (pusat atau negeri, fikirkan sendiri), yang jadi mangsanya, rakyat. Rakyat yang memang mengharapkan bekalan air bersih untuk setiap masa. Zaman kini bukanlah zaman dahulu kala bila masa bekalan air tiada, tanah-tanah kosong digali untuk dibuat perigi, sungai-sungai dijadikan tempat mandi dan tempat membasuh baju.

Di Lembah Klang, sungai-sungai semua dah tercemar.

Kandungan 'biochemical oxygen demand' tinggi, ikan pun tak mampu hidup di dalam air berkeadaan begitu.

Nak mengharapkan air hujan, air yang dikumpul cuma sesuai digunakan untuk basih pinggan je. Mana sesuai dibuatkan mandi. Nilai pH rendah daripada 7.

Itulah, ada orang berkata, ada kera dalam kerajaan.

Di dalam waktu krisis air ni, ada satu masalah yang makin melarat.

Hygiene.

Sedangkan di waktu bekalan air sentiasa ada pun, hygiene ni jadi masalah, inikan pula waktu sebegini. Pembuat masalah pula, pelajar-pelajar universiti no 1 di Malaysia pula tu. Aku tak faham, air dah tak ada, buat apa pergi buang air kat tandas lagi? Aku sanggup pergi jauh semata-mata nak bersih. Akhirnya, tandas bau haram jadah. Takkanlah benda macam ni kena diajar secara formal di dalam kelas? Takkanlah perlu ada satu subjek spesifik 'Hygiene and Self Cleanliness' untuk diajar?

Sia-sia saja universiti top 200 di dunia tapi ada pelajar perangai macam ni.

Ada pula yang guna paip pili bomba lepas tu dibawa paip tu masuk dalam tandas. Gila.