Friday, December 26, 2014

Sabut Kesedihan.

Laman Instagram dilayari melalui komputer riba. Satu persatu gambar menjadi hidangan mata, dari yang berpakaian ketat hingga kepada yang berlurah dendam, lalu keluar satu gambar perempuan cantik bertudung beserta kapsyen.

"Tunang hadiahkan baju kurung ni. Jadi kita pakailah. #ootd #tunangbagi"

Sugul wajah dia tatkala melihat gambar perempuan itu.

"Kau dah kenapa?"

"Emm, makwe lama aku ni."

Selang-seli aku pandang komputer riba dengan dia. Lalu aku bertanya, "Sejak bila ni?" Dia menarik nafas panjang. Kedengaran bunyi titisan air hujan dari luar bilik, semakin lebat semakin lebat. Cuaca seolah-olah memahami kesuraman yang menyelinap seluruh bilik ini.

"Dua bulan lepas.", balas dia dengan perlahan.

* *

"Selagi gunung masih utuh berdiri, selagi ombak masih memukul pantai, selagi itu cinta saya terhadap awak takkan berubah. Pegang janji saya ini dan sematkan dalam hatimu. Usahlah khuatir sayang, kerana jika kita tidak bersatu di dunia ini, kita akan bertemu di akhirat sana."

"Walaupun kita terpisah jauh seperti sekarang? Awak sanggup harungi ini semua?"

"Awak, cinta itu bukan melemahkan hati, bukan membuat kita putus asa, sebaliknya cinta menguatkan hati, menghidupkan harapan. Harapan untuk kita bersama selamanya."

Tersenyum sang lelaki mendengar gubahan kata itu.

* *


"Hari tidak selalunya indah, air tidak selalunya jernih. Kita harapkan sinaran matahari, rupanya gerhana yang muncul. Harapan hancur menjadi debu lalu terbang dihembus kekecewaan."

"Kenapa dengan awak ni?"

"Ada orang datang meminang, anak kawan lama abah."

* * *


Sebatang Winston dicapai lalu dihala ke bibir. Rokok dinyalakan lalu dicampak pemetik api itu ke sudut meja. Nama pun pemetik api, fungsi dalam kehidupan pun tak tentu. Ada juga manusia yang seperti pemetik api, sama ada dia sedar atau tak itu hal dia.

Rokok disedut panjang. Asap masuk melalui trakea menuju ke paru-paru sebelum kembali naik ke mulut untuk dilepaskan. Kadang kala asap berbentuk O dibuat, saja nak tunjuk hebat. "Benda dah jadi, akhirnya dia pergi jugak ke lelaki itu. Menangis pun tak guna, bukannya dia akan ingat dekat kita pun kan.", ujar dia dengan tenang.

No comments: