Friday, December 26, 2014

Sabut Kesedihan.

Laman Instagram dilayari melalui komputer riba. Satu persatu gambar menjadi hidangan mata, dari yang berpakaian ketat hingga kepada yang berlurah dendam, lalu keluar satu gambar perempuan cantik bertudung beserta kapsyen.

"Tunang hadiahkan baju kurung ni. Jadi kita pakailah. #ootd #tunangbagi"

Sugul wajah dia tatkala melihat gambar perempuan itu.

"Kau dah kenapa?"

"Emm, makwe lama aku ni."

Selang-seli aku pandang komputer riba dengan dia. Lalu aku bertanya, "Sejak bila ni?" Dia menarik nafas panjang. Kedengaran bunyi titisan air hujan dari luar bilik, semakin lebat semakin lebat. Cuaca seolah-olah memahami kesuraman yang menyelinap seluruh bilik ini.

"Dua bulan lepas.", balas dia dengan perlahan.

* *

"Selagi gunung masih utuh berdiri, selagi ombak masih memukul pantai, selagi itu cinta saya terhadap awak takkan berubah. Pegang janji saya ini dan sematkan dalam hatimu. Usahlah khuatir sayang, kerana jika kita tidak bersatu di dunia ini, kita akan bertemu di akhirat sana."

"Walaupun kita terpisah jauh seperti sekarang? Awak sanggup harungi ini semua?"

"Awak, cinta itu bukan melemahkan hati, bukan membuat kita putus asa, sebaliknya cinta menguatkan hati, menghidupkan harapan. Harapan untuk kita bersama selamanya."

Tersenyum sang lelaki mendengar gubahan kata itu.

* *


"Hari tidak selalunya indah, air tidak selalunya jernih. Kita harapkan sinaran matahari, rupanya gerhana yang muncul. Harapan hancur menjadi debu lalu terbang dihembus kekecewaan."

"Kenapa dengan awak ni?"

"Ada orang datang meminang, anak kawan lama abah."

* * *


Sebatang Winston dicapai lalu dihala ke bibir. Rokok dinyalakan lalu dicampak pemetik api itu ke sudut meja. Nama pun pemetik api, fungsi dalam kehidupan pun tak tentu. Ada juga manusia yang seperti pemetik api, sama ada dia sedar atau tak itu hal dia.

Rokok disedut panjang. Asap masuk melalui trakea menuju ke paru-paru sebelum kembali naik ke mulut untuk dilepaskan. Kadang kala asap berbentuk O dibuat, saja nak tunjuk hebat. "Benda dah jadi, akhirnya dia pergi jugak ke lelaki itu. Menangis pun tak guna, bukannya dia akan ingat dekat kita pun kan.", ujar dia dengan tenang.

Saturday, December 6, 2014

Happy Birthday Ayong Mika.

Hari ini ulangtahun kelima perkahwinan Ayong Mika.

Hari ini juga hari lahir ke 31 Ayong Mika.

Itu pun kalau Ayong Mika masih bernafas di dunia ini.

Pagi 12 Julai 2010, Subuh lagi pada waktu itu. Final World Cup 2010 baru berakhir, di mana Robben tak lepas one-on-one dengan Casillas, De Jong buat karate kick dekat Alonso, dan Iniesta menyumbat gol kemenangan disusuli dengan membuka jersinya dan tertera 'Dani Jarque Stempre Con Nosotros'. Lepas tu balik solat Subuh dekat surau, aku baru nak lelap mata, dan kakak aku mesej aku bagitahu arwah dah meninggal.

Rasa macam tak percaya, aku terus call kakak aku. Lepas tu aku call ayah aku, dan aku terus menangis. Aku buat keputusan nak balik Klang, dan perjalanan balik Klang dari matrik makan masa 4 jam lah jugak. Semua aku buat sebab arwah tu sepupu aku. Sempatlah solat jenazah dengan iring jenazah ke tanah perkuburan.

Sebenarnya arwah menghidap kanser kelenjar sejak 2008, tapi berjaya sembuh. Lalu arwah melangsungkan perkahwinan pada 6 Disember 2009. Selepas beberapa bulan, arwah mengandungkan seorang anak lelaki, dan kanser kembali menyerang. Sadisnya bila kanser dah semakin menggila, arwah mengalami keguguran. Ayah aku cakap kandungan tu gugur dengan sendirinya masa arwah dekat ICU.

Kali terakhir aku jumpa arwah pada 10 Julai 2010, arwah tengah terbaring dekat ICU. Aku masuk sekejap, terus keluar. Tak sanggup nak tengok lama-lama.

Aku masih ingat lagi arwah cakap dekat aku "Best lah kau urut aku. Urutlah lagi."

Dan aku tetap ingat bila arwah tulis dekat fb aku keesokan selepas perkahwinan arwah, "Happy birthday budak. Good luck paper esok."